GPX POPZ 110 2021 di pasaran Thailand tampil lebih bergaya, enjin kini dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik

GPX Thailand pada kelmarin dengan rasminya memperkenalkan versi terbaharu untuk model kapcai GPX POPZ 110, yang kini tampil lebih bergaya, lebih menyeronokkan dan enjin yang telah dinaik taraf. Untuk pasaran Malaysia, GPX POPZ 110 turut dilancarkan dalam bulan Ogos 2020 yang lepas, dengan harga disyorkan sebanyak RM 5,200.00.

Berbanding model tahun sebelumnya, GPX POPZ 110 2021 di pasaran Thailand kini telah menerima lima pilihan warna baharu yang lebih ceria dan segar, serta masih kekal dengan gaya vintage yang menawan. Model kapcai itu turut menerima kemaskini terkini jalur grafik dan logo POPZ dalam gaya vintage dengan aura keremajaan yang moden.

Naik taraf lebih menarik ialah pada bahagian enjinnya, apabila enjin empat lejang yang bersesaran 109cc (1 cylinder, SOHC, air cooled) itu kini telah dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik (fuel injection). Ini menjadikan enjin yang dipadankan dengan kotak empat kelajuan itu lebih responsif dan lebih cekap, serta jimat penggunaan bahan api.

Ciri-ciri menarik lain yang masih melengkapi GPX POPZ 110 2021 termasuklah panel meter semi digital dengan gaya cool dan klasik, sistem lampu LED sepenuhnya dengan gaya retro, rim aloi aluminium yang ringan dan kuat, brek depan cakera 220 mm, sistem suspensi belakang dengan dua tahap pelarasan, dan tempat duduk bergaya vintage.

GPX POPZ 110 2021 turut dilengkapi sistem kunci dengan penutup yang lebih selamat, paip ekzos bergaya klasik yang mesra alam dan patuh piawaian Euro 4, dan juga tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.0 liter. Mungkin paling mengujakan ialah harga pengenalannya iaitu sebanyak 39,500 THB sahaja, bersamaan hanya RM 4,975.56.