MKA Group kini pengedar rasmi jenama Ipone di Malaysia

MKA Group dilantik sebagai pengedar rasmi jenama Ipone di Malaysia. Ipone ialah rangkaian produk pelincir motosikal dan jenama itu datangnya dari Perancis.

Syarikat yang mengumumkan pelantikan MKA Group selaku pengedar rasmi ialah Specialty Lubricants Trading (Specialty Lubricants).

Specialty Lubricants adalah prinsipal rasmi Ipone di Malaysia dan juga pengedar sah Motul Asia Pacific di pasaran tempatan.

Kenyataan akhbar diterima menyatakan:

“Dengan kepakaran MKA Group, produk Ipone akan lebih mudah diakses oleh para penunggang motosikal di Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, Ipone bakal mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Malaysia dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran MKA Group yang luas serta pemahaman mendalam terhadap keperluan pasaran tempatan.

“Kolaborasi ini memastikan produk Ipone termasuk minyak enjin, produk penjagaan dan produk penyelenggaraan mudah diperoleh oleh peruncit dan pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.”

APA KATA ORANG-ORANG PENTING DALAM KERJASAMA INI?

Pengurus Besar Motul Malaysia, Ravi Shankar berkata:

“Pengembangan Ipone ke Semenanjung Malaysia melalui MKA Group menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan jenama ini di peringkat tempatan.

“Sebagai sebuah jenama yang sentiasa mengekalkan komitmennya terhadap dunia permotoran, Ipone membawa tenaga unik ke pasaran yang meraikan prestasi, gaya hidup, serta inovasi.

“Dengan kepakaran mendalam MKA Group di peringkat tempatan serta kehadiran mereka yang kukuh di seluruh Malaysia, kami yakin penunggang di seluruh Semenanjung Malaysia kini akan mempunyai akses yang lebih baik kepada produk Ipone, serta peluang untuk merasai kualiti dan semangat yang telah menjadi identiti jenama ini selama 40 tahun.”

Sementara itu, Pengarah MKA Group iaitu Doc Dol berkata:

“Kerjasama dengan Ipone menandakan satu pencapaian membanggakan bagi MKA Group dengan kini memikul tanggungjawab mewakili jenama yang dipercayai dalam pelincir motosikal ini.

“Melalui rangkaian kukuh dan kehadiran luas kami di seluruh Semenanjung Malaysia, kami berhasrat membawa rangkaian premium pelincir dan produk penjagaan Ipone kepada lebih ramai penunggang di seluruh negara.”