Honda mengumumkan tawaran model skuter Honda Forza 350 Ohlins Special Edition 2025 di Thailand dengan harga 207,000 baht (anggaran RM27,000).
Memandangkan statusnya sebagai skuter Special Edition, jumlah unit yang akan dijual dihadkan kepada 500 unit sahaja untuk pengguna di Thailand.
Berdasarkan pemahaman kami, skuter istimewa ini adalah hasil kerjasama antara pihak Thai Honda dan Ohlins Thailand.
Model ini menggunakan set absober dengan subtank berjenama Ohlins di bahagian belakang skuter. Suspensi yang menggunakan spring warna kuning itu boleh dilaras sepenuhnya.
Honda Forza 350 Ohlins Special Edition 2025 berwarna serba hitam dan dikenakan aksen hiasan emas-kuning sebagai warna kontra. Ada pelekat Ohlins pada badan skuter.
Tambahan lain dibuat ialah ada aksesori H2C (keluaran anak syarikat A.P. Honda) berwarna emas dipasang di lantai kaki penunggang dan pemijak kaki pembonceng.
Buat masa ini, set absober yang digunakan model Forza 350 Ohlins Special Edition ini tidak dijual secara berasingan di Thailand.

