Kita sudah tau jenama X-WEDGE akan masuk Malaysia dengan motosikal kapasiti 2,000cc sebelum akhir tahun 2025.
Sekarang, terdengar pula satu lagi cerita mengatakan ada satu lagi motosikal 2,000cc juga akan datang ke Malaysia iaitu GWM Souo S2000.
GWM atau Great Wall Motors (GWM) ialah jenama pengeluar kenderaan empat roda di China. Di Malaysia memang ada GWM Malaysia tapi mereka hanya jual model kereta dan bukannya motosikal ini.
GWM Souo S2000 akan masuk menerusi satu syarikat lain dan syarikat ini tak ada kaitan dengan GWM Malaysia.
Informasi yang kami terima ialah ada wakil dari China sudah mengadakan perbincangan dengan satu syarikat yang akan mengedarkan GWM Souo S2000 di Malaysia.
GWM Souo S2000 ada dua varian – GL dan ST. GWM Souo S2000 GL ada tempat sandar untuk pembonceng dan tiga kotak simpanan (side 2, top 1). GWM Souo S2000 ST ada kotak sisi tapi tak ada tempat sandar dan box atas.
GWM Souo S2000 adalah lawan paling dekat dengan Honda Gold Wing. Belum ada informasi rasmi dan lengkap tentang GWM Souo S2000 tapi apa diketahui enjinnya jenis 8-silinder flat (atau boxer) 2,000cc (Gold Wing 6-silinder 1,833cc).
Kuasanya 152hp @ 6,500 rpm dan kuasa kilas (tork) 190Nm @ 4,500 rpm.
Enjin GWM Souo S2000 jenis DOHC tapi Gold Wing jenis SOHC. Kotak gear GWM Souo S2000 jenis DCT 8 kelajuan siap ada gear undur.
Fork GWM Souo S2000 bukan jenis teleskopik biasa tapi gaya Hossack-style grider untuk memastikan keselesaan tanpa merasai redaman fork (brake dive) semasa membrek.
Bentuk motosikal 2 liter itu seperti kostum tarian singa. Ini memang jelas kalau tengok gaya kepala motosikal itu dengan lampu depannya macam mata singa. Lampu belakang pun macam mata kostum tarian singa (lion dance).
Beratnya ikut varian dengan GL seberat 461kg dan ST seberat 450kg. Saiz motosikal masih sama dengan 2,660mm panjang, 950mm lebar dan 1,540mm tinggi. Jarak antara roda 1,810mm.
Tak lama lagi mesti ada syarikat akan membuat pengumuman tentang motosikal GWM Souo S2000. Kita tunggu dan lihat nanti.