Voge CU525 2024 dilancarkan di Malaysia, harga RM 29,888.00

Voge Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) baru-baru ini bukan saja melancarkan model moped terbaharu Voge FR150 2024, malah turut melancarkan model cruiser Voge CU525 2024. Model itu tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Green, Black dan Blue. Harganya pula ialah sebanyak RM 29,888.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Pada bahagian enjin, ianya bersesaran 494cc (dual cylinder, DOHC, 4-valve, liquid-cooled) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan slipper clutch. Enjin itu kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 53.1hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 50.5Nm @ 7,000rpm. Model cruiser itu mempunyai berat 178 kg (net weight), dan dilengkapi tangki petrol 15 liter.

Spesifikasi standard lain termasuklah fork depan upside-down, penyerap hentak belakang boleh laras, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang dengan ABS Dual Channel, Traction Control System (TCS), tempat duduk dengan ketinggian 710 mm, panel meter digital berwarna, sistem lampu LED, dan tayar depan dan belakang dengan saiz 130/90-R16 dan 150/80-R16.