Yamaha MT-07 2024 terima naik taraf terkini di pasaran Jepun

Yamaha MT-07 2024 diperkenalkan di pasaran Jepun, dan telah memulakan jualannya secara rasmi pada tarikh 22 Mac 2024. Model tersebut kini tampil dengan tiga pilihan warna iaitu Dark Gray, Blue dan Matte Dark Gray. Harganya ialah sebanyak 880,000.00 Yen (RM 26,478.91).

Untuk musim 2024, Yamaha MT-07 telah menerima beberapa naik taraf terkini yang menarik. Antaranya ialah ianya kini dilengkapi panel meter TFT LCD berwarna sepenuhnya bersaiz 5.0 inci dengan pelbagai info, serta turut tersedia dengan dua tema paparan Street dan Touring.

Yamaha MT-07 2024 juga kini telah mempunyai fungsi pautan ke telefon pintar, dengan adanya aplikasi sambungan Yamaha Y-Connect. Sementara itu, sistem quick shifter tersedia sebagai aksesori pilihan, dan ianya boleh dipasang dengan pantas pada bila-bila masa dengan mudah.

Di bahagian enjin, model naked yang bergaya sporty dan agresif itu dikuasakan enjin bersesaran 688cc (2-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan. Prestasi maksimumnya 73PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Aspek teknikal lain seperti sistem lampu LED, tangki petrol 14 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang mono dengan ciri pelarasan, sistem brek dengan ABS Dual Channel, saiz roda 120/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang), tinggi pelana 805 mm, dan berat 184 kg.