CFMOTO 450MT 2024 merupakan sebuah model adventure terbaharu yang diperkenalkan pada penghujung tahun lepas. Kini untuk pasaran Malaysia, tempahan untuk model berkenaan telah pun dibuka oleh wakil pengedar, seperti mana yang dipaparkan di dalam laman Mudah.my.
Harganya juga telah dipaparkan iaitu serendah RM 28,888.00, namun harga itu pastinya belum lagi rasmi. Tarikh pelancarannya pula setakat ini belum diumumkan, mungkin dalam masa yang terdekat ini. Jadi untuk anda yang berminat, boleh kunjungi mana-mana wakil jualan terdekat.
CFMOTO 450MT 2024 tampil dalam dua pilihan varian. Ianya dilengkapi enjin 449cc (2-cylinder, inline 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 270° crankshaft) dengan transmisi enam kelajuan dan CF-SC slipper clutch. Enjin itu menjana kuasa maksimum 44hp @ 8,500rpm dengan tork 44Nm @ 6,250rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 17.5 liter.
Spesifikasi lain seperti sistem suspensi KYB, ABS Dual Channel (switchable rear wheel), TCS (Traction Control System), panel meter digital 5.0 inci TFT dengan paparan berwarna, sistem Bluetooth, soket pengecas 18w Type-C / Type-A, dan skrin penghadang angin boleh laras.
Melengkapkan lagi spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada CFMOTO 450MT 2024 ini termasuklah tinggi tempat duduk pada paras 820 mm, jarak kelegaan tanah sehingga 220 mm, dan sepasang tayar yang bersaiz 90/90-R21 (depan) dan 140/70-R18 (belakang). Berat keringnya 175 kg.