Tempahan CFMOTO 450CL-C 2024 kini dibuka, anggaran harga RM 25k – RM27k

Di pasaran China, model cruiser CFMOTO 450CL-C 2024 kini tampil dengan satu pilihan warna baharu Quick Gray. Bersama-sama warna baharu itu ialah dua lagi pilihan warna terdahulu yang masih lagi ditawarkan iaitu Bordeaux Red dan Starlight Black. Spesifikasi teknikal pula tiada sebarang perubahan, dan masih dikuasakan enjin 449cc (In-line twin cylinder, liquid-cooled).

Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 40hp @ 8,000rpm dengan tork 42Nm @ 6,250rpm. Spesifikasi menarik lain yang melengkapi CFMOTO 450CL-C 2024 ini termasuklah sistem brek ABS, Traction Control, tangki petrol 12 liter, paparan meter TFT 3.6 inci bergaya retro, pengecas USB Type-C, tinggi tempat duduk 690 mm, dan tayar berukuran 130/90-R16 dan 150/80-R16.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, berita baiknya ialah CFMOTO 450CL-C 2024 kini telah dibuka tempahannya, menurut sumber dari CFMOTO Malaysia by TR Motorworld. Anggaran harga asasnya pula dikatakan antara RM 25k sehingga RM 27k sahaja. Model itu dijangkakan akan dilancarkan secara rasmi di pameran automotif Malaysia Autoshow 2024 (22 – 26 Mei).