Merujuk kepada laman sesawang rasmi Triumph Motorcycles Malaysia, model sports terbaharu Triumph Daytona 660 2024 kini telah pun muncul di dalam laman sesawang tersebut. Setakat ini tarikh pelancarannya untuk pasaran Malaysia belum diumumkan, begitu juga harganya.
Namun begitu berdasarkan paparan di dalam laman Facebook Triumph Street Triple Malaysia sejak dua hari yang lepas, terdapat wakil pengedar yang telah memuat naik harga jualan untuk model tersebut. Berdasarkan paparan itu, harga asasnya ditetapkan sebanyak RM 49,500.00.
Pada masa yang sama, tempahan awal juga telah dibuka oleh wakil pengedar. Jadi untuk bakal pembeli yang berminat, boleh kunjungi mana-mana bilik pengedar sah Triumph Motorcycles Malaysia untuk urusan selanjutnya, di samping bagi mendapatkan tarikh rasmi pelancarannya.
Imbas kembali, Triumph Daytona 660 2024 memiliki enjin 660cc (liquid cooled, inline 3-cylinder, 12 valve, DOHC, 240° firing order) dengan sistem transmisi enam kelajuan dan assist & slipper clutch. Enjin itu menghasilkan prestasi 95PS @ 11,250rpm dengan tork 69Nm @ 8,250rpm.
Pelbagai ciri-ciri menariknya termasuklah sistem suspensi daripada Showa, ABS Dual Channel, sistem ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, traction control, panel meter TFT, sistem lampu LED, dan sistem baharu Emergency Deceleration Warning.