Yamaha MT-15 2024 terima kemaskini warna baharu di Thailand

Jentera naked Yamaha MT-15 2024 baru-baru ini diperkenalkan di pasaran Thailand, dengan kemaskini satu warna baharu. Skim warna yang menerima kemaskini baharu itu ialah Metallic Grey, anda boleh lihat perbezaannya apabila dibandingkan dengan model Yamaha MT-15 2022. Dua pilihan warna lain iaitu Racing Blue dan Matt Black kekal seperti mana sebelumnya.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha MT-15 2024 masih mengekalkan harga lama iaitu sebanyak THB 101,000, yang kini bersamaan RM 13,440.21 mengikut kadar semasa. Beralih ke bahagian teknikal, tiada sebarang perubahan baharu. Imbas kembali, enjinnya 155cc VVA (SOHC, 4-valve, liquid cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Ciri-ciri menarik lainnya termasuklah casis Deltabox dengan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu posisi jenis berkembar dengan lampu hadapan LED mono, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek depan dengan cakera bersaiz 282 mm, tayar bersaiz 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang), dan ketinggian tempat duduk 810 mm.

Yamaha MT-15 2024 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 10 liter, dan beratnya 133 kg. Untuk pasaran Malaysia, versi terkini yang ditawarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor ialah Yamaha MT-15 2022. Model tersebut didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik seperti Cyan Storm, Icon Blue dan Midnight Black. Harga jualan asasnya ditawarkan sebanyak RM 12,298.00.