Model skuter Yamaha Vino 2024 baru saja diperkenalkan di pasaran Jepun, dan jualannya akan bermula secara rasmi pada tarikh 29hb. Februari 2024. Untuk musim 2024, model tersebut kini tampil dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Red, Matte Blue dan Light Blue, di samping tiga pilihan warna terdahulu iaitu Beige, Brown dan Black, daripada model tahun 2023.
Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha Vino 2024 ditawarkan dengan harga jualan sebanyak 214,500 Yen, bersamaan nilai RM 6,797.85 mengikut kadar mata wang semasa. Aspek teknikal, tiada sebarang perubahan baharu. Model tersebut kekal dilengkapi enjin bersesaran 49cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 4.5PS @ 8,000rpm dengan tork 4.1Nm @ 6,000rpm. Pelbagai ciri-ciri menarik lainnya termasuklah Idling Stop, pengecas 12V, sistem brek dram dengan CBS (Combi-Brake System), sepasang tayar bersaiz 80/100-10, dan ruang storan sekitar 20 liter di bawah tempat duduk dengan muatan sebuah topi keledar.