Sewaktu pameran di EICMA 2023 yang lepas, antara model skuter terbaharu yang dipamerkan oleh Kymco ialah Kymco Skytown 150 2024. Model tersebut tampil dengan reka bentuk menawan, serta dilengkapi enjin 150cc yang yang patuh piawaian emisi terkini Euro 5+.
Enjin dengan sistem penyejukan udara itu menghasilkan kuasa maksimum 11.5hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 11.3Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 7 liter. Berat kering model skuter itu hanyalah 117.5 kg, untuk tunggangan yang mudah dan lincah.
Kymco Skytown 150 2024 seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, tayar depan dan belakang yang bersaiz masing-masing 110/70-14 dan 130/70-13, tinggi tempat duduk 770 mm, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS.
Melengkapkan lagi spesifikasi model skuter yang serba moden itu ialah lampu hadapan LED, panel instrumen digital LCD, soket pengecas USB, ruang di bawah tempat duduk yang luas dan boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh, dan sistem kunci anti-kecurian.
Untuk pasaran Malaysia, Kymco Skytown 150 2024 ini dirasakan sesuai jika ianya ditawarkan oleh Modenas. Ini kerana Modenas pada ketika ini belum mempunyai model skuter dengan enjin 150cc. Model yang ditawarkan ketika ini ialah Modenas Karisma 125S dengan enjin 125cc.