Yamaha YZF-R15 V4 2024 terima warna baharu di pasaran India

Untuk pasaran India, Yamaha YZF-R15 V4 2024 pada hari ini dengan rasminya diperkenalkan dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Vivid Magenta Metallic, Racing Blue dan Metallic Red.

Harga jualan yang ditawarkan untuk model sport bike itu ialah sebanyak ₹ 1,87,000 (RM 10,448.66) untuk pilihan warna Vivid Magenta Metallic dan Racing Blue. Untuk warna Metallic Red, harga jualannya ditawarkan lebih rendah iaitu sebanyak ₹ 1,82,000 (RM 10,169.28).

Selain pengenalan dan kemaskini warna baharu, spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan masih sama seperti mana model tahun sebelumnya. Yamaha YZF-R15 V4 dilengkapi enjin bersesaran 155cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan gandingan transmisi enam kelajuan.

Enjin yang cekap dan berprestasi itu kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 18.4PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.2Nm @ 7,500rpm. Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah tangki bahan api 11 liter, fork depan USD, dan sistem brek dengan ABS Dual Channel.

Yamaha YZF-R15 V4 seterusnya turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, Traction Control System, ABS Dual Channel, panel meter digital, sistem Yamaha Y-Connect, lampu depan LED tunggal dengan lampu posisi LED, dan ciri keselamatan ‘Side Stand Engine Cut-Off Switch’.

Sementara itu Quick Shifter juga tersedia, namun hanya sebagai aksesori pilihan. Yamaha YZF-R15 V4 2024 mempunyai ketinggian tempat duduk 815 mm. Saiz tayar depan dan belakangnya 100/80-R17 dan 140/70-R17. Akhir sekali berat model sporty itu ialah 141 kg (kerb weight).