Pada bulan November 2023 yang lepas, Kawasaki dengan rasminya memperkenalkan dua buah model terbaharu keluarannya iaitu Kawasaki Z500 2024 dan Kawasaki Ninja 500 2024. Kedua-dua model naked dan sport bike itu buat masa ini hanya ditawarkan di pasaran Eropah.
Dengan pelancaran Z500 dan Ninja 500, bermakna hayat dua model terdahulu iaitu Z400 dan Ninja 400 kini sudah sampai ke penghujungnya. Bagaimanapun untuk pasaran Jepun, Kawasaki Z400 2024 dan Kawasaki Ninja 400 2024 masih lagi ditawarkan, mungkin untuk kali terakhir.
Untuk musim 2024, Z400 di pasaran Jepun kini tampil dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Ebony / Metallic Carbon Gray. Bagi model Ninja 400 pula, dua pilihan warna baharunya ialah Pearl Ivory / Metallic Matte Dark Gray dan Metallic Magnetic Dark Gray / Metallic Spark Black.
Beralih ke bahagian spesifikasi dan ciri-ciri teknikal, ianya kekal sama seperti model Kawasaki Z400 2023 dan Kawasaki Ninja 400 2023. Untuk pasaran Jepun, Z400 2024 ditawarkan dengan harga 726,000 Yen (RM 23,583.42), dan 770,000 Yen (RM 25,012.72) untuk Ninja 400 2024.
Pada tahun depan, Z500 dan Ninja 500 dijangka akan dilancarkan secara rasmi di kebanyakan pasaran dunia, bagi menggantikan Z400 dan Ninja 400. Untuk pasaran Malaysia, tidak mustahil kedua-dua model berkenaan akan dikenali sebagai Modenas Z500 dan Modenas Ninja 500.
Galeri : Kawasaki Z400 2024 (Japan)
Galeri : Kawasaki Ninja 400 2024 (Japan)