Yamaha VR150 keluaran tahun 1987 (Thailand)

Oleh kerana artikel sebelum ini yang bertajuk Yamaha VR150 pernah ditawarkan di pasaran Thailand mendapat sambutan yang hangat, jadi kali ini Arena Motosikal siarkan pula gambar-gambar menarik Yamaha VR150 keluaran tahun 1987.

Berdasarkan maklumat terdahulu yang diperolehi dari Thailand, kemunculan pertama Yamaha VR150 di negara Gajah Putih tersebut ialah pada tahun 1987, dan berterusan sehinggalah ke pengeluaran terakhir sekitar pertengahan tahun 1990an.

Jika diperhatikan, Yamaha VR150 1987 ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu tanpa penutup enjin (under cowling) dan juga bersama-sama penutup enjin. Juga dapat dilihat ialah sistem brek belakangnya masih lagi daripada jenis gelendong, berbanding Yamaha VR150 generasi baharu yang telah pun dilengkapi sistem brek cakera.

Perbezaan lain yang dapat dikesan ialah di bahagian penutup enjinnya tidak terdapat logo YCLS (Yamaha Computerised Lubrication System), malah rekaan ekor belakangnya juga didapati berbeza. Perhatikan juga lampu penunjuk arah (lampu signal) belakang yang direka bersepadu bersama-sama dengan lampu belakang.

Spesifikasi enjin kekal sama iaitu 147.6cc dengan kelengkapan sistem penyejuk jenis cecair, mempunyai sistem YEIS (Yamaha Energy Induction System), dan kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum sehingga 28hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 21.5Nm @ 9,000rpm.

Yamaha VR150 ini dikatakan mempunyai kelajuan maksimum yang tinggi, bersesuaian dengan karakter enjin dua lejangnya yang berkuasa. Reka bentuk sportynya pula boleh dikatakan seakan-akan menyamai reka bentuk model Suzuki Panther “Jerung”.