Web Analytics
Bajaj Avenger Street 220 layak jadi pengganti Modenas Jaguh – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Bajaj Avenger Street 220 layak jadi pengganti Modenas Jaguh

Pengeluaran model cruiser Modenas Jaguh di pasaran Malaysia telah lama dihentikan. Model tersebut mungkin telah dilupakan bagi kebanyakan orang, namun untuk peminat setia, masih ramai yang mengharapkan Jaguh akan membuat kemunculan semula.

Sehingga kini pihak Modenas seakan-akan tidak berminat untuk menawarkan kembali model Jaguh ke pasaran tempatan, sedangkan selama ini mereka mempunyai peluang hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal Bajaj dari India. Contohnya model Bajaj Avenger Street 220 ini sangat layak untuk menjadi pengganti kepada model Jaguh.

Bajaj Avenger Street 220 yang dipaparkan di sini merupakan model cruiser yang dijual di pasaran Mauritius pada tahun 2021 yang lalu, dengan harga jualan sebanyak Rs. 80,996, bersamaan nilai RM 8,236.76 pada ketika itu. Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Matte Black dan Matte White.

Model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 220cc (twin spark, 2 valve DTS-i engine, oil cooled), yang menghasilkan kuasa maksimum 19.03PS @ 8,400rpm dengan tork maksimum 17.5Nm @ 7,000rpm. Untuk keselamatan, ianya dilengkapi brek cakera di bahagian roda depan dengan ABS, dan brek dram di bahagian roda belakang.

Spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah tangki bahan api berkapasiti 13 liter, sistem suspensi yang selesa dan berat hanya 155 kg (kerb weight). Boleh dikatakan penampilan Bajaj Avenger Street 220 ini mirip model Jaguh, namun dalam bentuk yang lebih moden dan segar, dan pastinya mengekalkan legasi Jaguh itu sendiri.

Setakat ini tidak pasti jika pihak Modenas pernah merancang untuk memperkenalkan kembali model Jaguh ke pasaran tempatan, berdasarkan model Bajaj Avenger Street 220 ini. Apa pendapat anda? Perlukah Modenas melancarkan kembali model Jaguh?

 
Arena Motosikal © 2023