Yamaha Motor Europe baru-baru ini rasmi memperkenalkan Yamaha Ténéré 700 Extreme 2024. Model tersebut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk aktiviti tunggangan yang lasak dan ekstrem, antaranya seperti sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya di bahagian depan dan belakang, masing-masing dengan jarak travel 20 mm lebih tinggi berbanding versi standard.
Selain itu, Yamaha Ténéré 700 Extreme 2024 juga dilengkapi pemijak kaki titanium yang ringan, pelindung radiator aluminium, mudguard depan pada posisi tinggi, panel meter TFT 5.0″ dengan tiga tema iaitu “Explorer”, “Street” dan “Raid”, tinggi tempat duduk 910 mm, jarak kelegaan bumi 260 mm, rim roda aluminium berwarna emas, dan ABS dengan tiga pilihan mod boleh ubah.
Yamaha Ténéré 700 Extreme 2024 dilengkapi enjin CP2 dalam kapasiti 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, DOHC), yang menjana 73.4PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 68Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya berkapasiti 16 liter. Turut tersedia ialah kemudahan pengecas USB.