Suzuki Malaysia pada bulan Ogos 2022 dengan rasminya melancarkan model terbaharu Suzuki GSX-S1000GT 2022. Untuk pasaran tempatan, model Grand Touring itu boleh didapati dalam dua pilihan warna yang menarik Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue. Harga asasnya pula ialah RM 85,700.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Suzuki GSX-S1000GT memiliki enjin 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) bertaraf Euro 5, dan menghasilkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm @ 9,250rpm. Enjin berkenaan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan teknologi Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan bi-directional quickshifter.
Sebagai model Sports Tourer atau Grand Touring sebenar, Suzuki GSX-S1000GT hadir dengan ciri aerodinamik pada tahap tertinggi dan corak tunggangan yang selesa. Model tersebut turut dilengkapi pakej sistem bantuan elektronik yang diperlukan, seperti mana yang terdapat di dalam rangkaian Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang canggih.
Antaranya seperti sistem pendikit ride-by-wire dengan pilihan tiga corak pemetaan enjin sama ada A,B atau C, sistem traction control dengan lima pilihan mod dan sistem cruise control. Melengkapkan lagi sistem bantuan elektronik tersebut ialah Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist, yang memberikan lebih kemudahan kepada penunggang.
Seterusnya, semua informasi yang diperlukan dipaparkan melalui panel instrumen TFT berwarna yang bersaiz 6.5 inci, dengan sokongan sambungan ke telefon pintar dengan menggunakan aplikasi terbaharu Suzuki mySPIN. Pelbagai kemudahan ditawarkan oleh aplikasi tersebut termasuklah navigasi, komunikasi, muzik dan juga kemaskini kalendar.
Selain enjin yang berkuasa, prestasi tunggangan Suzuki GSX-S1000GT diperkemaskan lagi oleh penggunaan fork depan upside-down KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dengan gandingan suspensi belakang yang juga boleh dilaraskan (preload and rebound damping adjustable rear shock), menjadikan model GT tersebut lebih lincah dan stabil.
Meningkatkan lagi tahap kawalan dan kestabilannya, Suzuki GSX-S1000GT dibekalkan tayar berprestasi tinggi Dunlop SPORTMAX Roadsport2, dalam siri 120/70-R17 (depan) dan 190/50-R17 (belakang). Untuk keselamatan maksimum, brek depan Brembo tampil dengan sepasang cakera 310 mm, diapit oleh kaliper monoblok dengan empat piston.
Tidak dilupakan, Suzuki GSX-S1000GT 2022 didatangkan bersama-sama sistem lampu LED sepenuhnya, tangki bahan api dengan kapasiti penuh 19 liter, tinggi tempat duduk 810 mm, jarak kelegaan bumi 140 mm, dan berat 226 kg (kerb mass). Untuk maklumat selanjutnya, saksikan gambar-gambar menarik model berkenaan dalam galeri di bawah.