Honda Super Cub 110 2023 terima warna baharu di pasaran Thailand

Model kapcai bergaya retro Honda Super Cub 110 2023 di pasaran Thailand baru-baru ini telah diperkenalkan dengan dua pilihan warna baharu yang menarik – Pearl Organic Green dan Pearl Cadet Grey. Dua lagi pilihan warna yang ditawarkan ialah Red-White dan Black, yang dibawakan dari model tahun 2022. Harga jualannya ditawarkan dari 48,400 THB (RM 6,177.53) sahaja.

Selain pilihan warna baharu, tiada naik taraf lain yang diperkenalkan. Honda Super Cub 110 2023 untuk pasaran Thailand dilengkapi enjin Honda Smart Engine bersesaran 109.5cc, dengan sistem PGM-FI yang cekap dan menjimatkan penggunaan bahan api. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Jumlah keluaran kuasa dan tork tidak pula diumumkan.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model kapcai berkenaan termasuklah lampu depan LED, panel meter bergaya retro dan digital, dan sistem suspensi yang tahan lasak. Tinggi tempat duduk yang selesa mempunyai ketinggian 744 mm, dan tayar bersaiz 70/90-R17 (depan) dan 80/90-R17 (belakang) membaluti rim jenis lidi. Tangki petrolnya berkapasiti 4.2 liter yang sudah mencukupi.

Di bahagian brek, Honda Super Cub 110 ini masih menggunakan sistem brek jenis dram di depan dan di belakang. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini tidak pasti sama ada ianya akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda. Namun berdasarkan pemerhatian, peminat motosikal di pasaran Malaysia kebanyakannya lebih meminati model-model bertaraf moped dengan enjin yang lebih berkuasa.