Benelli R18i merupakan salah sebuah model moped berprestasi tinggi yang ketika ini ditawarkan di pasaran Malaysia. Selain itu, model tersebut juga ditawarkan di pasaran Greece dengan nama baharu Benelli RCX 185. Lebih menarik, versi yang ditawarkan di rantau Eropah itu didatangkan dengan sistem brek ABS Dual Channel, bagi mematuhi taraf piawaian keselamatan di sana.
Ketika ini di pasaran tempatan, hanya dua model moped SYM VF3i 185 dan Honda RS-X sahaja yang dilengkapi dengan sistem brek ABS, di bahagian roda depan (Single Channel ABS). Setakat ini belum ada mana-mana model moped di pasaran Malaysia yang dilengkapi dengan sistem ABS Dual Channel, disebabkan sistem brek berkenaan masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.
Oleh itu memandangkan Benelli RCX 185 di pasaran Greece telah dilengkapi dengan sistem brek ABS Dual Channel, jadi tidak mustahil Benelli R18i juga akan dilengkapi dengan sistem brek yang sama pada masa akan datang. Jika ianya menjadi realiti, taraf keselamatan Benelli R18i tentunya akan meningkat lebih tinggi, dan mungkin akan membantu meningkatkan lagi prestasi jualannya.
Berbanding model-model moped lain di pasaran tempatan, Benelli R18i agak jarang dapat dilihat di jalan raya. Mungkin kerana itulah kedudukannya di dalam senarai 10 motosikal moped paling popular berada di tangga yang ke-8. Diharapkan Benelli R18i akan dilancarkan semula dengan skim warna terbaharu tidak lama lagi, dan mungkin juga dengan sistem brek ABS Dual Channel.