Pada pertengahan bulan September 2023 baru-baru ini, Aprilia telah memperkenalkan Aprilia SR GT Replica 2023. Model skuter tersebut diasaskan daripada model Aprilia SR GT, yang kini tampil dengan skim warna bertemakan jentera perlumbaan Aprilia RS-GP. Jentera MotoGP itu ketika ini ditunggang oleh dua pelumba handalan Aprilia iaitu Aleix Espargaró dan Maverick Viñales.
Aprilia SR GT Replica didatangkan dalam dua versi, iaitu Aprilia SR GT 125 dengan enjin dalam sesaran 125cc, dan Aprilia SR GT 200 dengan enjin bersesaran 174cc. Bagi versi 125cc, janaan kuasa maksimumnya 14.75hp @ 8,750rpm dengan tork 12Nm @ 6,500rpm. Bagi versi 174cc pula, kuasa maksimumnya mencapai 17.43 @ 8,500rpm dengan tork 16.5Nm @ 7,000rpm.
Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada Aprilia SR GT Replica ini akan dilancarkan, seperti mana model Aprilia SR GT 200 yang dilancarkan secara rasmi dalam bulan Mei 2022 yang lepas. Untuk pasaran Malaysia, model skuter tersebut ditawarkan dalam dua pilihan varian Standard dan Sport, dengan harga jualan asas masing-masing sebanyak RM 19,900.00 dan RM 20,900.00.