Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Premium Version – Non-ABS dan ABS) di pasaran Vietnam

Model moped Yamaha Exciter 155 VVA 2023 dalam versi facelift dan naik taraf terbaharu baru saja dilancarkan untuk pasaran Vietnam kelmarin. Antara varian yang ditawarkan ialah Premium Version, yang didatangkan dengan dua pilihan sistem brek Non-ABS dan ABS.

Bagi model Non-ABS atau atau tanpa sistem brek ABS, ianya sama dengan model Yamaha Exciter 155 VVA 2023 dalam varian Standard Version, yang dilengkapi sistem brek cakera depan dengan kaliper satu piston. Namun bagi model ABS, ianya dilengkapi sistem brek ABS Single Channel, dengan kaliper dua piston dan cakera depan berukuran 267 mm.

Dengan kelengkapan baharu sistem brek ABS itu, ianya menjadikan model berkenaan lebih selamat apabila mampu membrek dengan lebih berkesan. Di pasaran Vietnam, harga untuk Yamaha Exciter 155 VVA 2023 bagi versi Premium Version ialah sebanyak 51,000,000 VND (RM 9,844.82) untuk versi Non-ABS, dan 54,000,000 (RM 10,423.92) untuk versi ABS.

Di samping itu berbanding varian Standard Version, varian Premium Version juga dilengkapi ciri-ciri yang lebih menarik iaitu sistem Smart Key dan soket pengecas 12V untuk mengecas telefon pintar dan gajet. Pilihan warna juga berbeza, di mana varian Premium Version tampil dengan tiga pilihan warna seperti Black – Brown, Red dan Green untuk versi Non-ABS, dan empat pilihan warna iaitu Black, Green, Blue – Gray dan Black – White untuk varian ABS.

Untuk ulangan, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 dalam versi facelift dan naik taraf terbaharu kini telah menerima rekaan baharu di bahagian depan, tahap keselesaan tempat duduknya dipertingkatkan, lampu belakang rekaan baharu, mudguard belakang rekaan baharu, naik taraf sistem suspensi, dan juga sistem intake dan ekzos yang dipertingkatkan prestasinya.

Di bahagian enjin, ianya kekal sama bersesaran 155cc dengan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dan tork 14.4Nm @ 8,000rpm, Enjin yang cekap dan berprestasi itu kemudiannya telah dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Galeri : Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Premium Version – Non-ABS)

Galeri : Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Premium Version – ABS)