Suzuki Gixxer 250 2023 dan Suzuki Gixxer SF250 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Suzuki Malaysia dengan rasminya mengumumkan dua model terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, iaitu Suzuki Gixxer 250 2023 dan Suzuki Gixxer SF250 2023. Malah tempahan rasmi untuk kedua-dua model tersebut juga kini telah dibuka.

Selain itu, turut bakal dilancarkan ialah dua buah model skuter terbaharu Suzuki Burgman 125 2023 dan Suzuki Avenis 125 2023. Tidak ketinggalan ialah model adventure terbaharu Suzuki V-Strom 125SX 2023. Kesemua model tersebut juga kini telah dibuka tempahan.

Beralih ke model Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250, kedua-duanya merupakan dua model kembar yang sama, namun masing-masing berada dalam kategori berbeza iaitu naked dan sport fairing. Enjin yang melengkapi juga sama, 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan sistem penyejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System).

Enjin itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dengan tork mencecah 22.6Nm @ 7,500rpm. Untuk penghidupan enjin yang mudah, Suzuki Gixxer dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System, sementara tangki bahan api hadir dengan kapasiti penuh sehingga 12 liter.

Untuk pengendalian yang lebih terkawal dan lincah, Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 dilengkapi fork depan 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban. Melengkapkan ciri keselamatan kedua-duanya ialah sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, yang didatangkan dengan sistem ABS dua saluran.

Rim roda yang sporty pada Gixxer 250 dan Gixxer SF250 dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 pada bahagian depan dan 150/60-R17 pada bahagian belakang. Kedua-dua model itu turut dilengkapi fender belakang yang terpasang pada lengan ayun. Tinggi pelana mencapai 800 mm. Berat untuk Gixxer 250 ialah 155 kg, dan berat Gixxer SF250 mencapai 160 kg.

Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 seterusnya dilengkapi panel meter digital LCD, sistem lampu depan dan belakang LED, dan paip ekzos dengan gaya rekaan sporty. Untuk maklumat harga, sama-samalah kita nantikan pelancaran kedua-duanya tidak lama lagi.

Galeri : Suzuki Gixxer 250 2021 & 2023 (Japan)

Galeri : Suzuki Gixxer SF250 2021 & 2023 (Japan)