Selain model skuter maxi urban Zontes 350D 2023, pasaran Malaysia pada kelmarin turut menerima pelancaran model skuter maxi touring Zontes 350E 2023. Mempunyai dua pilihan warna Black dan White, harga jualan asasnya ditawarkan sebanyak RM 25,800.00.
Zontes 350E dikuasakan enjin yang sama seperti Zontes 350D, iaitu 349cc (single cylinder, liquid cooled, SOHC) dengan padanan sistem transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 36hp @ 7,500rpm dengan tork 38Nm @ 6,000rpm.
Sebagai sebuah model skuter maxi touring, Zontes 350E ini dilengkapi tangki bahan api 16 liter untuk perjalanan lebih jauh. Untuk lebih keselesaan, ianya juga dilengkapi ‘Handle Grip Heater’, di samping tempat duduk pada ketinggian 770 mm yang empuk dan selesa.
Seterusnya, spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain adalah seperti teknologi keyless generasi 3.0, panel meter TFT dengan ciri sambungan ke telefon, dua port pengecas USB jenis Type A dan C, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, dan Traction Control System.
Zontes 350E dilengkapi tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-15 dan 140/70-14, yang turut didatangkan dengan teknologi TPMS (Tyre Pressure Monitoring System). Kemudahan lain ialah ruang storan yang luas di bawah tempat duduk, yang boleh memuatkan dua buah topi keledar. Di samping itu, juga tersedia ruang storan depan kiri dan kanan yang luas.
Untuk pasaran Malaysia, Zontes 350E 2023 mempunyai tempoh jaminan selama tiga tahun (mengikut terma dan syarat). Dengan pelancarannya, para peminat model skuter di pasaran Malaysia kini mempunyai lebih banyak pilihan, yang khusus untuk pemilik lesen B Full.