Web Analytics
Adakah jualan model kapcai Ottimo Viz 110 di pasaran Malaysia telah berakhir? – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Adakah jualan model kapcai Ottimo Viz 110 di pasaran Malaysia telah berakhir?

Di pasaran Malaysia sebelum ini, terdapat sebuah syarikat pengeluar motosikal baharu yang dikenali sebagai Ottimo Technologies Sdn. Bhd. Syarikat tersebut muncul buat pertama kali pada tahun 2018, dengan pelancaran sebuah model kapcai terbaharu yang dikenali dengan nama Ottimo Viz 110.

Sewaktu pelancarannya pada bulan Disember 2018, Ottimo Viz 110 ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 4,288.00. Kemudiannya sejak bulan Oktober 2021, ianya ditawarkan pada harga OTR yang lebih berpatutan iaitu RM 3,650.00 sahaja, termasuk perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Ottimo Viz 110 hadir dengan gaya dan rekaan mirip model moped popular Honda RS150R. Enjinnya bersesaran 107cc dengan transmisi empat kelajuan jenis rotary. Enjin yang mematuhi piawaian Euro 3 itu menawarkan kuasa maksimum 6.7hp @ 8,000rpm dengan tork puncak 6.9Nm @ 6,000rpm.

Enjin itu dilengkapi sistem penyejukan jenis udara, sistem penyampaian bahan api karburator, sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, serta tangki petrol dengan isian penuh 3.6 liter. Menurut Ottimo Technologies, jarak tunggangannya dengan setangki penuh mampu menjangkau sejauh 180 km.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Ottimo Viz 110 ini termasuklah paparan meter kelajuan yang jelas dan padat untuk informasi penunggang, ruang simpanan barangan peribadi seluas enam liter di bawah tempat, port pengecas USB, lampu deco dan lampu penunjuk arah LED, kunci utama dengan penutup magnetik jenis anti kecurian, serta brek hadapan cakera dengan dwi piston yang cekap.

Namun begitu sejak beberapa bulan yang lepas, khabar mengenai model Ottimo Viz 110 ini semakin menyepi. Malah tinjauan di dalam laman jual beli popular di dalam Marketplace Facebook dan laman Mudah.my juga mendapati model kapcai tersebut tidak lagi ditawarkan oleh mana-mana penjual.

Situasi yang berlaku itu mungkin ada kaitan dengan syarikat pengeluarnya Ottimo Technologies Sdn. Bhd., yang kini dikatakan tidak lagi beroperasi. Malah laman sesawang syarikat berkenaan di pautan https://ottimo.my/ juga tidak lagi dapat diakses, dan laman Facebook mereka juga tidak lagi aktif.

Apa yang boleh dikatakan, hayat Ottimo Viz 110 di pasaran Malaysia mungkin telah berakhir selepas hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Namun jika anda berminat, mungkin masih terdapat unit-unit terakhir model ini yang masih berada di mana-mana cawangan pengedar.

 
Arena Motosikal © 2023