Kawasaki sebelum ini telah melancarkan model cruiser terbaharu Kawasaki Eliminator 400 2023, antaranya seperti di pasaran Jepun dan Thailand. Terkini, model tersebut telah dilancarkan untuk pasaran USA, namun dengan kapasiti enjin yang lebih besar dan dikenali sebagai Kawasaki Eliminator 450 2024.
Untuk pasaran USA, Kawasaki Eliminator 450 ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Non-ABS dan ABS. Kedua-dua varian tersebut mempunyai dua pilihan warna yang menarik iaitu Pearl Robotic White dan Pearl Storm Gray. Harga jualan yang ditawarkan pula ialah sebanyak $6,649.00 untuk varian Non-ABS, dan $6,949.00 untuk varian ABS. Perbezaan di antara kedua-dua varian itu hanyalah melibatkan sistem brek ABS sahaja, manakala spesifikasi lain adalah sama.
Antaranya termasuklah enjin bersesaran 451cc (4-stroke, 2-cylinder, DOHC, liquid-cooled) dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasanya tidak pula diumumkan, kecuali jumlah tork sebanyak 31.7 lb-ft. (43Nm). Spesifikasi standard lain adalah seperti tangki bahan api 12 liter, fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan 310 mm, brek cakera belakang 220 mm, dan tayar bersaiz 130/70-18 (depan) dan 150/80-16 (belakang).
Melengkapkan lagi Kawasaki Eliminator 450 2024 untuk pasaran USA ini ialah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen digital LCD dengan pelbagai informasi, sistem sambungan ke telefon pintar, dan tempat duduk yang selesa pada paras 735 mm. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat mengenai pelancaran Kawasaki Eliminator ini, sama ada dalam versi 400cc atau 450cc.