Kawasaki di pasaran India baru-baru ini rasmi melancarkan model Kawasaki Ninja 300 2023, yang kini telah menerima kemaskini tiga pilihan warna baharu. Ketiga-tiga warna menarik itu ialah Candy Lime Green, Metallic Moondust Gray dan Lime Green.
Selain kemaskini warna baharu, model sport bike bertaraf evergreen itu juga kini telah dilengkapi Saree Guard untuk keselamatan bagi pembonceng wanita, dan Rear Grab Bar yang begitu panjang sekali untuk kemudahan pembonceng motosikal tersebut.
Untuk pasaran India, Kawasaki Ninja 300 2023 ditawarkan dengan harga bermula dari Rs. 3,43,000.00, bersamaan nilai RM 19,603.19 mengikut kadar semasa. Aspek spesifikasi teknikal yang lain kelihatan tiada perubahan baharu, sama seperti model Kawasaki Ninja 300 2022.
Enjinnya bersesaran 296cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 39PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 26.1Nm @ 10,000rpm.
Spesifikasi standard lain ialah seperti tangki bahan api 17 liter, fork depan teleskopik 37 mm, brek cakera depan 290 mm dan belakang 220 mm, tayar depan dan belakang berukuran 110/70-17 dan 140/70-17, dan ketinggian tempat duduk hanya 780 mm.