WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) baru-baru ini telah memperkenalkan model kapcai retro WMoto RTR 50 2023, melalui paparan di dalam laman sesawang rasmi mereka.
Apa yang menariknya ialah model tersebut kini telah menerima kemaskini tiga pilihan warna baharu, yang menjadikan penampilannya kini lebih menawan. Harga jualannya pula bermula dari RM 2,600.00 sahaja, yang boleh dikatakan sangat berpatutan.
Ini mungkin kerana model kapcai itu hanya dilengkapi enjin bersesaran 49cc sahaja, dengan kuasa maksimum 2.68hp @ 7,500rpm dan tork maksimum 2.8Nm @ 6,000rpm. Untuk perjalanan dalam jarak dekat, rasanya WMoto RTR 50 ini sangat sesuai.
Bagaimanapun untuk makluman anda yang mungkin berminat, ianya dikatakan hanya untuk pasaran luar negara sahaja, dan sehingga kini ianya tidak dijual oleh mana-mana wakil pengedar tempatan.
WMoto RTR 50 ini sebenarnya telah membuat kemunculan pertama pada tahun 2022, dan sejak itu ramai peminatnya yang bertanyakan di manakah kedai yang menjualnya.
Berdasarkan maklumbalas daripada pihak wakil penjual dan WMoto Malaysia sendiri, memang sah model tersebut tidak dijual di pasaran Malaysia. Sebabnya pula sehingga kini masih menjadi tanda tanya.