MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. kini dengan rasminya melancarkan sebuah model motosikal terbaharu iaitu Brixton Cromwell 1200 2023. Model bergaya klasik itu tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Cargo Green dan Backstage Black.
Untuk pasaran Malaysia, harga pengenalannya untuk 100 pelanggan pertama ialah sebanyak RM 55,888.00 (tidak termasuk insuran, cukai jalan dan pendaftaran), dan selepas itu akan dijual dengan harga asas sebanyak RM 58,888.00.
Brixton Cromwell 1200 dikuasakan enjin bersesaran 1,222cc (In-Line, 2 Cylinder, 4-Stroke, Water Cooled), yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 83hp @ 6,550rpm dengan tork puncak 108Nm @ 3,100rpm.
Melengkapkan model seberat 235 kg itu termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar (adjustable preload), brek cakera depan berkembar 310 mm, brek cakera belakang tunggal 260 mm, ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 100/90-R18 dan 150/70-R17, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, dan tangki bahan api 16 liter.
Pelbagai ciri-ciri menarik lain pada Brixton Cromwell 1200 ini ialah seperti sistem lampu LED sepenuhnya dengan DRL, panel meter digital TFT berbentuk bulat, port pengecas USB, pelindung bawah enjin (Skid Plate), dan sistem ekzos jenis berkembar.
Paling menarik, model tersebut juga dilengkapi sistem pendikit minyak elektrik, dua mod tunggangan Eco dan Sport, Traction Control, Cruise Control, dan sepasang beg pelana 10 liter berkualiti tinggi yang kalis air 100 peratus.
Untuk ketenangan minda pemiliknya, MForce Bike menawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan (yang mana tiba dahulu), dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di dalam talian.