Pasaran Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai model motosikal dalam segmen moped, terutamanya dengan enjin yang bersesaran 150cc dan ke atas. Antara yang paling popular boleh dilihat melalui artikel di sini : 10 motosikal moped paling popular di Malaysia (Edisi 2023).
Namun begitu tahukah anda, tidak lama lagi pasaran Malaysia dijangka akan menerima beberapa buah model moped baharu, yang bakal dilancarkan di antara tahun 2023 sehingga 2025. Berikut ialah senarai model-model moped serba baharu itu, untuk makluman dan panduan kepada semua peminat motosikal moped di Malaysia :
Berita mengenai model Super Moped Projek Am-2 ini mula muncul pada bulan Ogos 2022 yang lalu. Model ini dikatakan bakal dilengkapi enjin bersesaran 175cc, dan disebut-sebut akan dilancarkan pada suku ketiga tahun 2023. Ianya dibangunkan oleh syarikat tempatan AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI), dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara). Adakah Super Moped Projek AM-2 ini akan menjadi realiti? Sama-samalah kita nantikan kemunculannya.
Pada bulan Mac 2023 yang lepas, syarikat tempatan WMoto Malaysia (MForce Bike) telah mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan sebuah lagi model moped terbaharu untuk pasaran Malaysia. Model dengan enjin 150cc itu dikatakan akan dilancarkan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun depan.
Menariknya, model yang dibangunkan oleh pengeluar dari negara China itu akan menerima sentuhan reka bentuk ala Ducati Panigale, dan lengkap dengan bakul. Model tersebut juga dikatakan boleh menggunakan komponen dan aksesori dari jenama Honda dan Yamaha. Malah lebih dari itu, ianya bakal menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia menjelang tahun 2024 nanti.
Setakat ini, pembangunan model super moped Suzuki Raider dengan enjin yang lebih besar sama ada 160cc, 175cc atau 185cc, masih lagi bersifat spekulasi. Namun begitu disebabkan pengeluaran model semasa Suzuki Raider R150 yang telah lama iaitu sejak tahun 2016, jadi timbullah desas-desus mengenai kemungkinan pembangunan model serba baharu yang lebih hebat dan lebih berprestasi. Model tersebut dikatakan bakal memberikan saingan sebenar kepada model-model moped popular lain, dan tidak mustahil akan mengembalikan zaman kegemilangan Suzuki di Malaysia pada era tahun 1990an.
Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Honda RS-X dengan enjin 150cc telah menjadi motosikal moped paling popular. Mungkin kerana reka bentuknya yang sporty, enjin DOHC yang berkuasa, atau juga kerana ianya dilengkapi sistem brek ABS. Jika itu semua masih belum mencukupi, berita baiknya ialah dikhabarkan Honda Winner X 160 dengan enjin 160cc dan pelbagai ciri-ciri menarik lain bakal dilancarkan di pasaran Vietnam tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, pastinya model tersebut akan dikenali dengan nama Honda RS-X 160. Kemungkinan masa pelancarannya ialah pada tahun depan.
Antara sedar atau pun tidak, cerita mengenai pembangunan model Super Moped Modenas telah pun masuk ke tahun yang ke-10 (2013 – 2023). Sejak itu pelbagai model moped terbaharu keluaran syarikat lain telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia, namun Modenas masih lagi gagal mengeluarkan model super moped pertamanya. Akhirnya baru-baru ini peminat motosikal tempatan telah dikejutkan dengan berita terkini mengenai pembangunan Super Moped Modenas.
Model serba baharu itu dikatakan sedang dibangunkan oleh pihak Modenas dengan kerjasama Kawasaki, dan pada ketika ini ianya sedang diuji di luar negara. Pelancaran rasminya pula dikatakan akan berlangsung pada tahun 2025, tidaklah terlalu lama untuk kita semua menunggu ketibaannya. Spesifikasi teknikal, ciri-ciri dan reka bentuk Super Moped Modenas 2025 itu setakat ini masih belum didedahkan, namun ianya dijangka akan mendapat sambutan hangat apabila dilancarkan nanti.