Sewaktu berlangsungnya acara perlumbaan MotoGP Malaysia 2022 (21 – 23 Oktober 2022) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mempamerkan model Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022.
Melalui pameran rasmi model tersebut, ianya secara tidak langsung telah memberikan petunjuk bahawa HLYM bakal melancarkannya untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi. Namun sehingga kini, masih belum ada maklumat mengenai tarikh pelancarannya.
Di pasaran antarabangsa pada ketika ini, Yamaha YZF-R7 telah sampai ke model tahun 2023, dan tampil dengan skim warna terbaharu yang lebih menarik. Contohnya seperti model yang ditawarkan di pasaran Jepun, seperti dalam paparan galeri di bawah.
Imbas kembali spesifikasinya, model tersebut dikuasakan enjin 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, 4-valves, DOHC) dengan kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm dan tork 67Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya 13 liter, dan berat penuhnya mencapai 188 kg.
Di pasaran Thailand, Yamaha YZF-R7 telah dilancarkan pada Oktober 2021, dengan harga THB 339,000.00 (RM 44,935.06). Untuk pasaran Malaysia pula, mungkin ianya akan ditawarkan dengan harga asas dalam lingkungan antara RM 40k ke RM 45k.
Galeri : 2023 Yamaha YZF-R7 (Japan)