Honda RS150R 2023 diperkenalkan dengan warna baharu Mat Charcoal Gray Metallic

Boon Siew Honda hari ini secara rasmi memperkenalkan Honda RS150R 2023, yang kini tampil dengan warna baharu Mat Charcoal Gray Metallic. Warna itu merupakan tambahan kepada tiga warna sedia ada pada model Honda RS150R 2022.

Harga jualan asasnya pula kekal sama seperti mana harga model tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM 8,299.00. Selain itu, spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ditawarkan juga tiada sebarang perubahan, termasuklah enjin dalam sesaran 149.16cc.

Enjin bertaraf Euro 4 itu menawarkan kuasa maksimum 15.82hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 13.6Nm @ 7,000rpm. Sistem transmisinya ialah manual enam kelajuan, manakala tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 4.5 liter.

Tayar depan dan belakangnya bersaiz 90/80-17 dan 120/70-17, dan ketinggian tempat duduk 786 mm. Antara ciri-ciri menarik pada Honda RS150R 2023 ialah panel meter digital, lampu depan LED yang bergaya, dan sistem brek cakera yang mantap.