Suzuki VanVan 200 di pasaran Thailand tampil retro dan unik

Sejak beberapa tahun yang lepas, Suzuki di pasaran Thailand telah menawarkan model Suzuki VanVan 200. Model tersebut bukan saja tampil bergaya retro malah juga unik.

Melihat kepada penampilannya, Suzuki VanVan 200 ini merupakan sebuah model yang serba boleh dan mudah dikendalikan, serta menawarkan corak tunggangan selesa.

Enjinnya bersesaran 199cc (4-Stroke, 1-Cylinder, Air-Cooled, SOHC) dengan transmisi lima kelajuan, namun jumlah kuasa dan tork yang dihasilkannya tidak diumumkan.

Suzuki VanVan 200 ini dilengkapi tangki bahan api 6.5 liter. Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan teleskopik dan suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun.

Sistem brek depannya merupakan jenis cakera dan brek dram di belakangnya. Ukuran tayar depan dan belakangnya pula masing-masing 130 / 80 – R18 dan 180 / 80 – R14.

Tinggi tempat duduknya berada pada paras 770 mm, manakala jarak kelegaan buminya mencapai keluasan 220 mm. Berat keseluruhan model yang serba kompak itu 128 kg.

Untuk pasaran Thailand, Suzuki VanVan 200 yang bergaya retro ini tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Metallic Triton Blue, Metallic Fox Orange dan Solid Black.