Web Analytics
Skuter elektrik Alva Cervo 2023 dilancarkan di Indonesia – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Skuter elektrik Alva Cervo 2023 dilancarkan di Indonesia

Pengeluar skuter elektrik Alva pada kelmarin secara rasmi telah melancarkan model skuter elektrik terbaharu Alva Cervo 2023, untuk pasaran Indonesia. Model tersebut tampil dengan lima pilihan warna yang menarik iaitu Nebula Green, Edgy Turquoise, Mars Cooper, Halo White, dan juga Supernova Black.

Harga yang ditawarkan adalah sebanyak Rp. 37,750,000 (RM 11,572.93) untuk model dengan satu bateri, dan Rp. 42,750,000 (RM 13,105.77) untuk model dengan dua bateri. Alva Cervo dilengkapi bateri lithium 73.8 V 24Ah (1.8 kWh), dengan kuasa pengecas 1 kW. Tempoh pengecasan untuk dua bateri mengambil masa kira-kira 4 jam.

Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 9.3 kW, dengan tork maksimum 53.5 Nm. Jarak tunggangan untuk dua bateri ialah 125 km, dengan kelajuan maksimum 103 km/j. Skuter elektrik itu juga mampu mendaki jalan berbukit sehingga 17 darjah. Alva Cervo turut dilengkapi My ALVA Mobile Apps, dengan ciri-ciri menarik seperti Live Battery & Charging Status, Live Map Tracking, Riding Statistic, dan 24/7 Roadside Assistance.

Spesifikasi standard pada Alva Cervo termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, dan tayar bersaiz 110/80-14 (depan) dan 140/70-14 (belakang). Selain itu ialah lampu depan LED jenis projektor, lampu DRL, lampu belakang LED, panel meter TFT LCD, dan port pengecas USB.

Di samping itu, Alva Cervo turut menawarkan ciri-ciri menarik seperti Ride Mode (Eco, Urban, Sport, Electric Turbo Boost), Reverse Mode, Anti-Flood Technology with Water Resistance, dan Combined Braking System and Side Stand Sensor. Untuk makluman, Alva ketika ini juga menawarkan model skuter elektrik Alva One yang dilancarkan pada bulan Ogos 2022 yang lalu, dengan harga sebanyak Rp. 36,490,000 (RM 11,186.66).

 
Arena Motosikal © 2023