Web Analytics
Honda Wave110 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Kemboja – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Wave110 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Kemboja

Pasaran Kemboja pada pertengahan bulan Mei baru-baru ini rasmi menerima kehadiran model kapcai terbaharu Honda Wave110 2023, dengan tiga pilihan warna menarik.

Walaupun masih menggunakan rekaan lama, ianya tampil kemas dan sporty, antaranya mungkin kerana kehadiran sistem lampu jenis kombinasi dan rantai dengan penutup.

Honda Wave110 2023 dilengkapi enjin bersesaran 109.17cc (4-stroke / single-cylinder / OHC / air cooled), yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

Enjin itu masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburetor. Keluaran kuasa dan tork enjinnya tidak didedahkan, begitu juga dengan kapasiti tangki bahan api.

Spesifikasi lain pada Honda Wave110 2023 adalah seperti sistem brek jenis dram, serta tayar berukuran 70/90-17 dan 80/90-17 yang digandingkan dengan rim jenis berjejari.

Di pasaran Malaysia pada ketika ini, siri Honda Wave110 telah berevolusi kepada model baharu yang diberi nama Honda Wave Alpha 2023, dengan harga asas RM 5,179.00.

 
Arena Motosikal © 2023