Honda ADV250 atau Honda ADV350 untuk pasaran Malaysia?

Model skuter adventure Honda ADV350 telah pun dilancarkan di pasaran Eropah pada bulan November 2021, dan kemudiannya di pasaran Thailand pada bulan Mac 2022.

Model tersebut seterusnya dijangka akan dilancarkan beberapa pasaran lain, termasuk di pasaran domestik Jepun dan juga di beberapa pasaran negara di rantau ASEAN.

Untuk pasaran Malaysia, telah kedengaran khabar angin mengenai pelancarannya tidak lama lagi, namun adakah ianya model terbaharu Honda ADV250 atau Honda ADV350?

Kebiasaannya pasaran Malaysia lebih mesra dengan model-model dengan enjin dalam sesaran 250cc, kerana pasarannya yang lebih luas untuk pemilik lesen dalam kelas B2.

Jika model yang dilancarkan itu mempunyai enjin melebihi sesaran 250cc seperti mana model Honda ADV350, sudah tentu pasarannya akan menjadi lebih kecil dan terhad.

Namun setakat ini model Honda ADV250 masih lagi belum wujud, dan ianya juga belum dilancarkan di mana-mana pasaran. Adakah Honda akan tetap menawarkan ADV250?

Berdasarkan contoh model skuter Honda Forza 350 2023 yang telah ditawarkan dalam versi Honda Forza 250 2023, jadi kemungkinan tentang wujudnya ADV250 tetap ada.

Mungkin pihak Honda ketika ini sedang membangunkan Honda ADV250 yang pastinya sangat mudah dilakukan, kerana mereka hanya perlu mengubah sesaran enjin sahaja.

Jadi jika benar tidak lama lagi Honda ADV250 akan diperkenalkan, bermakna pasaran Malaysia sudah pasti akan menerima model itu, sama seperti model Honda Forza 250.

Jika tidak, nampaknya pasaran Malaysia akan menerima model Honda ADV350, yang pastinya akan membuatkan ramai peminat model tersebut perlu menaik taraf lesen.

Baru-baru ini, dikhabarkan terdapat cawangan pengedar Honda BigWing yang kini telah membuka tempahan untuk Honda ADV350, namun tiada bukti mengenai perkara itu.

Untuk lebih kepastian, nampaknya kita semua perlu menunggu sehinggalah pihak Boon Siew Honda memberikan petunjuk mengenai model apakah yang bakal dilancarkan itu.