Masih ingatkah lagi dengan model kapcai Modenas CT115S keluaran tahun 2015, yang mana ianya sehingga kini masih dijual di pasaran tempatan pada tahun 2023 ini.
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di dalam laman web rasmi Modenas, model itu kekal dengan tiga pilihan warna yang diperkenalkan pada beberapa tahun yang lepas.
Sementara itu pada tahun 2020 yang lalu, Modenas CT115S telah menerima kemaskini di bahagian lampu belakangnya, seperti mana yang disiarkan di dalam artikel berikut :
- Modenas CT115S 2020 kini tampil dengan lampu belakang rekaan baharu jenis terpisah
- Modenas CT115S 2020 kini dilengkapi lampu belakang rekaan baharu
Namun paparan galeri gambar-gambar model kapcai itu yang disiarkan di dalam laman web Modenas masih menunjukkan model dengan versi lampu belakang jenis lama.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pihak Modenas masih mengeluarkan model tersebut, atau unit-unit yang masih ada di pasaran pada ketika ini adalah stok lama.
Sambutan peminat untuk Modenas CT115S pada tahun 2023 ini tidak dapat dipastikan, kerana di pasaran kini terdapat pelbagai model-model terbaharu yang lebih menarik.
Malah Modenas sendiri baru-baru ini telah melancarkan Modenas Kriss 110 2023 yang ditawarkan dalam dua pilihan varian, iaitu varian brek dram dan varian brek cakera.
Mungkin daya tarikan model tersebut pada ketika ini ialah harga jualannya yang berada di bawah paras RM 5k, atau untuk mereka yang sukakan gaya rekaan tersendirinya.
Imbas kembali, Modenas CT115S dilengkapi enjin 114.8cc SOHC dengan sistem bahan api karburetor dan sejukan udara, dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.
Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 8.8hp (6.6kW) @ 9,500rpm dengan tork 8.1Nm @ 5,000rpm. Selanjutnya, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 4.8 liter.
Spesifikasi lainnya ialah seperti fork depan teleskopik, fork belakang monoshock, sistem brek cakera depan, sistem brek dram belakang, dan saiz tayar 70/90-17 dan 80/90-17.
Rekaan speedometer yang sporty dan kemas, lampu isyarat depan yang tampil agresif, dan kemudahan soket pengecas 12V untuk pengecasan menambahkan lagi nilainya.