Tempahan Modenas Ninja ZX-25R 2023 kini dibuka, anggaran harga RM 33k – RM 40k

Pasaran Malaysia bakal menerima pelancaran Modenas Ninja ZX-25R 2023 tidak lama lagi, berdasarkan maklumat terkini dari akaun TikTok rasmi Kawasaki Shah Alam.

Berikut ialah antara senarai maklumat terkini itu :

  • Dua varian akan dilancarkan iaitu SE dan RR
  • Anggaran harga dari RM 33k – RM 40k
  • Jangkaan tarikh pelancaran rasmi pada suku ketiga 2023 (Julai – September)
  • Tempahan rasmi kini dibuka oleh pengedar Kawasaki Malaysia

Setakat ini antara pasaran yang telah menerima model Ninja ZX-25R versi tahun 2023 ini termasuklah pasaran Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan juga New Zealand.

Bagi pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 boleh didapati dalam tiga pilihan varian iaitu Standard, SE dan RR, manakala pasaran lain hanya menerima varian SE.

Jika benar pasaran Malaysia turut ditawarkan varian RR, bermakna ianya menjadi satu berita yang sangat baik untuk peminat jentera 250cc dengan enjin empat silinder itu.

Namun dengan harga jualan yang boleh dikatakan berada pada paras tinggi, antara RM 33k sehingga RM 40k, adakah Modenas Ninja ZX-25R ini akan mendapat sambutan?

Untuk peminat tegar, harga yang ditetapkan itu bukanlah suatu masalah. Namun untuk yang kurang berkemampuan, banyak lagi model lain pada harga yang lebih rendah.

Misalnya ialah model Modenas Ninja 250, Yamaha YZF-R25 dan Honda CBR250RR. Jadi pilihan tepat di tangan masing-masing, berdasarkan minat dan juga kemampuan.

Galeri : Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023

Galeri : Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023