Bertempat di Malaysia Autoshow 2023 (4-7 Mei) baru-baru ini, BMW Motorrad Malaysia dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter terbaharu BMW CE 04 2023.
Model skuter elektrik itu didatangkan dengan dua pilihan warna menarik, dan harganya ditawarkan sebanyak RM 59,500.00 (harga di atas jalan, tidak termasuk insuran).
BMW CE 04 memiliki sel bateri lithium-ion berkapasiti 60.6 Ah (8.9 kWh), dengan kuasa maksimum 42hp (31kW). Jarak tunggangan bagi sekali cas dikatakan mampu mencapai angka sehingga 130 km, dengan kelajuan maksimumnya mencecah paras 120 km/j.
Dengan menggunakan pengecas standard, tempoh pengecasan adalah sehingga 4 jam 20 minit, dan hanya 1 jam 40 minit dengan menggunakan pengecas pantas (pilihan).
BMW CE 04 menawarkan tunggangan stabil dan lebih selamat, dengan teknologi ASC (Automatic Stability Control). Turut tersedia ialah tiga mod tunggangan iaitu Eco, Rain & Road sebagai ciri standard, dan mod tunggangan Dynamic tersedia sebagai pilihan.
Selain itu, ianya juga dilengkapi sistem brek ABS, skrin TFT berwarna 10.25 inci dengan peta dan navigasi terbina dalam dan sistem sambungan ekstensif sebagai ciri standard.
BMW CE 04 seterusnya didatangkan sistem lampu LED sepenuhnya, ruang storan topi keledar, port pengecasan telefon bimbit, dan juga kemudahan sistem Keyless Ride.