BMW K 1600 GT 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 174,500.00

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu BMW K 1600 GT 2023, dengan harga asas RM 174,500.00 (tidak termasuk insuran).

Untuk pasaran tempatan, model kembara jarak jauh berkuasa tinggi itu mempunyai dua pilihan warna yang menarik iaitu Style Sport dan Black Storm Metallic. Selain itu, warna Option 719 Meteoric II Dust Metallic turut ditawarkan sebagai skim warna pilihan.

BMW K 1600 GT 2023 dilengkapi enjin yang bersesaran 1,649cc (oil / water-cooled, six-cylinder, four-stroke, in-line engine with four valves per cylinder), dan dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dengan menggunakan sistem aci pemacu (shaft drive).

Enjin itu menghamburkan kuasa maksimum 160hp @ 6,750rpm, dengan tork 180Nm @ 5,250rpm. Kelajuan maksimum jentera grand touring itu pula melebihi angka 200 km/j.

Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 26.5 liter. Berat keseluruhan BMW K 1600 GT 2023 ini mencapai 343 kg (kerb weight).