Yamaha NEO’S 2023 di pasaran Vietnam, harga RM 9,535.72

Pasaran Vietnam pada bulan Disember 2022 telah menerima pelancaran model skuter elektrik terbaharu Yamaha NEO’S 2023, dalam tiga pilihan warna yang menarik.

Harga jualan yang ditawarkan untuk model berkenaan ialah sebanyak VND 50,000,000, bersamaan nilai RM 9,535.72 (kadar semasa) yang boleh dikatakan berpatutan.

Sebagai sebuah model skuter elektrik, Yamaha NEO’S 2023 dilengkapi motor elektrik brushless dengan kuasa maksimum 2 kW (2.68hp) dan tork 138.3Nm @ 40rpm.

Bateri yang digunakan ialah jenis lithium-ion dengan kapasiti maksimum 2.3 kW, yang mana ianya boleh dicas dari kosong sehingga penuh dalam tempoh 8 jam.

Menurut Yamaha, model itu mampu mencapai jarak tunggangan sejauh 72 km dengan sekali cas (menggunakan 1 bateri, kelajuan malar 30 km/j, berat penunggang 75 kg).

Untuk perjalanan yang lebih jauh, Yamaha NEO’S menawarkan ruang bateri tambahan di bawah tempat duduknya, yang boleh dimasukkan dan dikeluarkan dengan mudah.

Ciri-ciri menarik lain ialah seperti sistem kunci pintar, panel meter digital dengan sistem sambungan Yamaha Y-Connect, mod tunggangan ECO dan soket pengecas telefon.

Sistem lampu kesemuanya LED, dan lampu depan hadir dengan ciri lampu DRL. Untuk pemberhentian, ianya dilengkapi brek cakera depan dan brek belakang jenis dram.

Saiz tayar depan dan belakangnya masing-masing 110/70-13 dan 130/70-13, dan tinggi tempat duduk 795 mm. Tempoh jaminan yang ditawarkan ialah selama dua tahun.

Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada model ini akan dilancarkan atau tidak. Tambahan pula rakyat Malaysia lebih meminati model-model kapcai dan moped.