Yamaha MT-09 SP 2023 di pasaran USA, harga $11,499.00

Selain daripada model standard Yamaha MT-09 2023, pasaran USA kini juga menerima varian teratas Yamaha MT-09 SP 2023, dengan harga $11,499.00 (RM 51,504.02).

Model naked itu hanya ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Liquid Metal / Raven yang eksklusif, di samping beberapa kelengkapan teknikal bertaraf premium.

Ianya merangkumi fork depan KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, bersama-sama suspensi belakang premium daripada Öhlins dengan ciri ‘remote preload adjuster’.

Yamaha MT-09 SP 2023 kemudiannya dilengkapi sistem Cruise Control, tempat duduk dengan jahitan, lengan ayun berwarna perak, dan penakung bendalir brek yang jernih.

Sebagai tambahan bagi menyerlahkan lagi penampilannya yang tersendiri, tuil brek dan klac, palang handlebar dan sprocket pemacu didatangkan dengan skim warna hitam.

Spesifikasi lain adalah sama seperti model standard, termasuk enjin CP3 890cc dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan juga Quick Shift System (QSS).

Untuk pasaran Malaysia, hanya Yamaha MT-09 sahaja yang ditawarkan, dengan harga asas RM 54,998.00. Yamaha MT-09 SP setakat ini belum lagi ditawarkan oleh HLYM.