Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, Honda dengan rasminya telah memperkenalkan model kapcai Honda CT125 Hunter Cub 2023, untuk pasaran domestik Jepun.
Model tersebut kini telah dilengkapi enjin baharu yang lebih cekap, lebih bersih dan patuh piawaian emisi terkini, bersamaan piawaian emisi Euro 5 di pasaran Eropah.
Selain itu, turut diperkenalkan ialah pilihan warna baharu Matte Armored Silver Metallic, di samping dua pilihan warna terdahulu iaitu Glowing Red dan Pearl Organic Green.
Penyerap hentak belakang pula kini didatangkan dengan ciri pelarasan prabeban dalam lima tahap, untuk tunggangan yang lebih selesa ketika membawa lebih muatan.
Honda CT125 Hunter Cub 2023 juga ditawarkan dengan beberapa pilihan aksesori asli seperti Windshield, Front Carrier, Center Carrier, dan Side Box berkeluasan 8.0 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut ialah panel meter digital LCD berbentuk bulat yang kompak, dan semua sistem lampu bercirikan LED sepenuhnya.
Di bahagian enjin, ianya bersesaran 123cc dengan sistem penyejukan udara. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 9.1PS @ 6,250rpm dengan tork 11Nm @ 4,750rpm.
Honda CT125 Hunter Cub 2023 mempunyai berat 118 kg, dilengkapi tangki bahan api 5.3 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, dan sepasang tayarnya bersaiz 80/90-R17.
Untuk pasaran domestik Jepun, harga jualannya ditetapkan sebanyak 440,000 Yen, bersamaan nilai RM 14,597.21, berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.