Model kapcai sporty Honda Blade buat pertama kalinya rasmi diperkenalkan di pasaran Vietnam pada Oktober 2014, dan sehingga kini ianya kekal menjadi pilihan ramai.
Terbaru, Honda Vietnam Company (HVN) telah melancarkan model Honda Blade 2023, yang tampil lebih sporty dan bergaya dengan pilihan warna dan jalur grafik terkini.
Untuk pasaran Vietnam, Honda Blade 2023 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard Version (brek depan dram dan rim lidi), Special Version (brek depan cakera dan rim lidi), dan varian Sports Version yang dilengkapi rim aloi sporty dengan brek depan cakera.
Berikut ialah senarai harga yang ditawarkan untuk ketiga-tiga pilihan varian tersebut :
- Standard Version : VND 19,250,000 (RM 3,607.94)
- Special Version : VND 20,850,000 (RM 3,907.82)
- Sports Version : VND 22,350,000 (RM 4,188.96)
Honda Blade 2023 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 109.1cc dengan teknologi penyejukan udara, yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Enjin bertaraf Euro 3 yang cekap dan ekonomi itu menawarkan kuasa maksimum 8.3hp @ 7,500rpm dengan tork 8.65Nm @ 5,500rpm. Tangki petrolnya berkapasiti 3.7 liter.
Spesifikasinya yang lain adalah seperti fork depan teleskopik, sistem suspensi belakang berkembar, tinggi tempat duduk 769 mm, dan tayar bersaiz 70/90-17 dan 80/90-17.
Ciri-ciri menarik pada Honda Blade 2023 termasuklah sistem kunci 3 dalam 1 yang lebih selamat, dan lampu hadapan yang sentiasa menyala untuk ciri keselamatan lebih baik.
Honda Blade 2023 turut ditawarkan jaminan selama 3 tahun atau 30,000 km perjalanan. Ianya akan berada di pasaran Vietnam bermula tarikh 12hb. April 2023 akan datang.