Yamaha Jog 2023 dan Yamaha Jog Deluxe 2023 terima warna baharu di pasaran Jepun

Pada tarikh 14hb. Februari 2023 yang lepas, dua buah model skuter Yamaha Jog 2023 dan Yamaha Jog Deluxe 2023 dengan rasminya diperkenalkan di pasaran Jepun.

Kedua-duanya merupakan kesinambungan kepada model terdahulu Yamaha Jog 2021 dan Yamaha Jog Deluxe 2021, yang kini tampil dengan kemaskini warna baharu.

Untuk musim 2023, Yamaha Jog mempunyai tiga pilihan warna baharu iaitu Matte Blue, Bordeaux dan Silver, di samping dua pilihan warna sebelumnya Black dan White.

Yamaha Jog Deluxe 2023 pula kini mempunyai pilihan warna baharu Yellow, di samping warna Matte Black yang merupakan warna yang dibawakan dari musim sebelumnya.

Selain perbezaan warna, Yamaha Jog Deluxe memiliki beberapa ciri-ciri menarik seperti Idling Stop System, tempat duduk lebih berkualiti dengan dua jahitan, emblem 3D, tinggi tempat duduk 720 mm (705 mm untuk Jog), dan berat 79 kg (78 kg untuk Jog).

Spesifikasi lain adalah sama, seperti enjin 49cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve, FI) yang menawarkan 4.5PS @ 8,000rpm dan tork 4.1Nm @ 6,000rpm. Enjin itu dipadankan transmisi automatik. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.

Siri Yamaha Jog juga dilengkapi sistem brek dram dengan CBS (Combi-Brake System), panel meter dengan paparan jam dan fungsi penetapan masa untuk penukaran minyak enjin, sistem kunci dengan ciri anti kecurian, dan sepasang tayar bersaiz 80/100-10.

Untuk pasaran Jepun, Yamaha Jog 2023 boleh dimiliki dengan harga sebanyak 181,500 Yen (RM 5,988.70), dan 194,700 Yen (RM 6,424.24) untuk Yamaha Jog Deluxe 2023.

Galeri : Yamaha Jog 2023

Galeri : Yamaha Jog Deluxe 2023