Bristol ADX160 dan ADS160 2023 kini di pasaran Filipina

Pasaran Filipina baru-baru ini rasmi menerima pelancaran model skuter terbaharu, yang diinspirasikan rekaannya daripada dua model Honda ADV160 dan Honda X-ADV.

Model tersebut ialah Bristol ADX160 2023 dan Bristol ADS160 2023. Perbezaan kedua-dua model itu ialah ADX160 dilengkapi fork depan jenis terbalik dan rim lidi, sementara untuk ADS160, ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik bersama-sama rim aloi.

Untuk makluman, ADX160 dan ADS160 merupakan model skuter buatan negara China, yang dikenali dengan nama Sanye Sabre ADV150 dengan kelengkapan enjin 150cc.

Namun untuk ADX160 dan ADS160, enjinnya bersesaran 155cc dan dipadankan sistem transmisi CVT, menawarkan kuasa 13.4hp @ 8,500rpm dan tork 14Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasi lain seperti sistem Start – Stop, tangki bahan api 11 liter, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter TFT, sistem keyless, port USB, dan sistem lampu LED.

Kedua-dua model tersebut seterusnya dilengkapi sepasang tayar bersaiz 110/80-14 dan 130/70-13. Ketinggian tempat duduk 790 mm, dan berat skuter itu mencapai 151 kg.

Bristol ADX160 2023 didatangkan dengan dua pilihan warna menarik merah dan hitam, manakala Bristol ADS160 2023 mempunyai dua pilihan warna lain kelabu dan putih.

Harga pengenalan yang ditawarkan untuk ADX160 ialah PHP 158,000 (RM 12,571.26), dan harga pengenalan untuk ADS160 ialah sebanyak PHP 138,000 (RM 10,979.96).