Model kapcai Honda Wave 110i 2023 dengan rasmi diperkenalkan di pasaran Thailand, kini tampil dengan skim warna dan jalur grafik baharu yang lebih sporty dan segar.
Terdapat tiga varian ditawarkan untuk model tersebut, iaitu rim aloi dengan brek cakera depan, rim lidi dengan brek cakera depan, dan rim lidi dengan brek dram depan.
Harga jualan yang ditawarkan pula bermula dari THB 37,100 (RM 4,792.49). Spesifikasi teknikal didapati masih sama seperti mana model tahun 2021 dan model tahun 2022.
Bagaimanapun berdasarkan paparan gambar panel meter terbaharu untuk model tahun 2023 itu, panel meternya kini tidak lagi mempunyai paparan digital LCD di bawahnya.
Di bahagian enjin, Honda Wave 110i 2023 dilengkapi enjin empat lejang dalam sesaran 109.5cc (4-stroke, SOHC, Fuel Injection System PGM-FI, Air-cooled) yang ekonomi.
Dipadankan dengan transmisi empat kelajuan, enjin yang diberikan nama Honda Smart Engine itu mampu mencapai tahap penggunaan bahan api sehingga 76.9 km / liter.
Spesifikasi menarik lain pada model berkenaan adalah seperti tangki bahan api 5.0 liter, ruang barangan 10 liter di bawah tempat duduk, dan lampu depan dan belakang LED.