Suzuki GSX250R 2023 kini dilancarkan di pasaran Jepun

Pada tarikh 13hb. Mac 2023 yang lepas, model sport bike Suzuki GSX250R 2023 telah dilancarkan di pasaran Jepun, dalam empat pilihan warna baharu yang lebih sporty.

Keempat-empat pilihan warna itu ialah Diamond Red Metallic / Pearl Nebular Black dan Pearl Nebular Black dengan harga 602,800 Yen (RM 20,025.12), dan warna Triton Blue Metallic dan Pearl Glacier White dengan harga jualan 614,900 Yen (RM 20,427.08).

Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ditawarkan pula masih sama dan tiada perubahan. Enjinnya bersesaran 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, 2-cylinder / SOHC, 2-valve) dengan transmisi enam kelajuan, menghasilkan 24PS @ 8,000rpm dan 22Nm @ 6,500rpm.

Menurut Suzuki, enjin berkenaan kini lebih mesra alam dan patuh piawaian emisi terkini seperti mana yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun, yang bersamaan piawaian Euro 5.

Untuk musim 2023, Suzuki GSX250R ditawarkan dalam varian ABS sahaja, dan varian standard tanpa ABS tidak lagi ditawarkan. Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api 15 liter, panel instrumen digital pelbagai maklumat, dan lampu depan dengan ciri DRL.

Selain itu ianya dilengkapi tayar depan dan belakang bersaiz 110/80-17 dan 140/70-17, dan tinggi tempat duduknya 790 mm. Suzuki GSX250R pernah dipamerkan di Malaysia sebelum ini, namun tiada maklumat bilakah ianya akan dilancarkan secara rasmi.