Honda Grom 2023 terima warna baharu di pasaran Jepun

Model kompak Honda Grom 2023 baru-baru ini telah diumumkan menerima dua pilihan warna baharu untuk pasaran Jepun, iaitu Asteroid Black Metallic dan Gaiety Red.

Di samping itu, enjin model tersebut juga kini lebih bersih dan mesra alam apabila ianya telah mematuhi piawaian emisi paling terkini di Jepun, bersamaan piawaian Euro 5.

Harga jualan yang ditawarkan untuk Honda Grom 2023 ini ialah sebanyak 390,500 Yen, bersamaan RM 12,973.84, dan akan berada di pasaran mulai tarikh 15hb. Jun 2023.

Honda Grom dikuasakan enjin 123.9cc (air-cooled, SOHC, 2-valve) dengan kotak gear lima kelajuan, dan menghasilkan 10PS @ 7,250rpm dengan tork 11Nm @ 6,000rpm.

Antara spesifikasi menarik pada model tersebut ialah seperti fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS, tangki bahan api 6.0 liter, tayar berukuran 120/70-12 dan 130/70-12, tinggi tempat duduk 761 mm, dan berat 103 kg.

Selain itu ianya juga dilengkapi lampu depan dan belakang LED, panel instrumen digital dengan paparan Gear Indicator dan Shift Light, dan sepasang rim aloi yang sporty.