Benelli Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) kini secara rasmi telah melancarkan sebuah model naked terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu Benelli TNT25N 2023.
Model tersebut hadir dengan tiga pilihan warna menarik seperti Golden Yellow, Strength Red dan Power Black, dengan harga jualan asas berpatutan RM 12,998.00 sahaja.
Tempoh jaminan yang ditawarkan ialah selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan, dan ianya juga termasuklah perkhidmatan pembelian alat ganti secara di dalam talian.
Benelli TNT25N dikuasakan enjin bersesaran 249cc (Single Cylinder, 4-stroke, 4-valve, DOHC, Liquid Cooled), yang bergandingan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Enjin berprestasi itu menawarkan kuasa maksimum 25.5hp @ 9,250rpm dengan janaan tork setinggi 21.2Nm @ 8,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya mencapai 13.5 liter.
Model tersebut seterusnya dilengkapi fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, dan sistem lampu jenis LED sepenuhnya.
Melengkapkan lagi ciri-ciri menariknya ialah panel meter digital, suis lampu kecemasan, dan tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 780 mm. Beratnya hanya 155 kg.
Dengan pelancarannya, Benelli TNT25N 2023 ini menjadi satu pilihan alternatif kepada model Yamaha MT-25, yang ketika ini ditawarkan dengan harga asas RM 22,998.00.